Jumaat, 4 November 2011

Teruja Ku Teruji

Wanita mana yang bergelar isteri tidak gembira apabila mengetahui dirinya hamil. Apa lagi kehamilan anak pertama. Begitulah aku yang hamil sebulan selepas aku menikah. Aku 'bunting pelamin' rupanya.. hamil seminggu di saat hari persandinganku. Sungguh gembira. Segala puji bagiMu Ya Allah.

Bagaimanapun, keterujaanku mengandungkan anak sulung berakhir apabila aku mengalami keguguran beberapa hari lalu di mana kandungan ku berusia 8 minggu. Ya Allah, Engkau menguji keimananku di saat aku berjauhan dengan suami tercinta. Hari yang sama aku keguguran, abang ( suami ) berangkat ke Kuala Lumpur untuk mengikuti kursus. Itu pun sudah sebulan aku dan abang terpisah kerana abang bekerja nun jauh di sana.. Labuan, sedang aku berada di Tawau.

Seminggu sebelum keguguran, aku sudah mengalami kemurungan kerana sudah beberapa kali aku membuat pemeriksaan kandungan, janin yang ada dalam rahimku tidak menunjukkan tanda-tanda perkembangan. Beberapa hari sepanjang minggu itu aku menangis dalam doa setiap kali selepas solat. Aku mohon sangat-sangat anak yang aku kandungkan selamat. Dalam masa yang sama aku pasrah dan yakin semua ketentuan Allah adalah yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Ada hikmah yang Allah sembunyikan.

Selama aku melalui hari-hari sedih itu sehingga ke hari gugurnya kandunganku, lidah ku tidak henti-henti menyebut kalimah yang bagi aku hanya kalimah itu yang cukup membuatkan hatiku tenang dan berserah segalanya kepada Allah.. itulah kalimah Laa Ilaha Illallahu Wahdahu Laa Sharika Lahu Lahul Mulku wa Lahul Hamdu Yuhyi wa Yumitu wa Huwa 'Alaa Kulli Shay'in Qadir.
Ya Allah.. sungguh Engkau berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Engkau yang menghidupkan dan mematikan.. Aku yang Engkau uji sebegini hebat.. semoga aku dan abang tidak membantah kehendakMu Ya Allah. Dan semoga aku tabah menanti pertemuan dengan abang sebulan akan datang. Tetapkan kami dalam cinta kepadaMu Ya Rabb.. Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan